Cameron Highlands, 25 Jun 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus memperkukuh peranannya dalam mendidik dan memperkasa mahasiswa
sebagai agen perubahan kesihatan awam menerusi penganjuran Konferensi U-CARE (University-Community Action on Reducing Epidemic) UiTM 2025 yang berlangsung di Hotel Copthorne, Cameron Highlands, Pahang.
Program selama tiga hari ini merupakan inisiatif strategik anjuran Pusat Kesihatan, Jabatan Hal Ehwal Pelajar UiTM bersama Kelab HEALX-KAMI (Kesihatan Anak Muda IPT), dengan kerjasama Majlis AIDS Malaysia di bawah inisiatif KAMI-IPT yang dinaungi oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Seramai 57 mahasiswa dari lima kampus UiTM termasuk UiTM Shah Alam, Kampus Puncak Alam, Kampus Puncak Perdana, Kampus Sungai Buloh dan Kampus Tapah telah menyertai konferensi ini.
Konferensi yang bertemakan “Educate, Empower, Eradicate” ini bertujuan melahirkan mahasiswa sebagai ‘peer educator’ dalam usaha menangani penularan HIV/AIDS dalam kalangan belia. Menurut Dr. Nurfazlinda Md Shah, Penasihat Program merangkap Pakar Perubatan Kesihatan Awam UiTM, program ini merupakan satu pendekatan holistik untuk meningkatkan literasi kesihatan, memperkukuh kemahiran advokasi, serta membina keupayaan mahasiswa dalam menangani stigma dan diskriminasi berkaitan HIV/AIDS.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Dr. Shairul’azam Sahar, Pengarah Pusat Kesihatan UiTM, mewakili Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, YBhg. Profesor Dr. Hj. Mohd Sazili bin Shahibi. Dalam ucapannya, beliau menegaskan peranan penting ahli Kelab HEALX-KAMI sebagai duta kesihatan berilmu yang mampu menyampaikan maklumat sahih berkaitan risiko jangkitan, langkah pencegahan, serta akses kepada rawatan dan sokongan tanpa stigma dan diskriminasi.
En. Wan Mohd Ikhtiaruddin, Pengurus Program KAMI-IPT dari Majlis AIDS Malaysia, turut berkongsi statistik semasa yang menunjukkan hampir 48% kes jangkitan HIV baharu di Malaysia melibatkan golongan belia berumur 13 hingga 29 tahun, termasuk mahasiswa IPT. Justeru, inisiatif ini turut melibatkan kerjasama dengan universiti awam lain seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Konferensi ini turut disokong oleh Yayasan AIDS Malaysia, Persatuan Insaf Murni Malaysia (IMAM) dan Fakulti Perubatan UiTM, dengan penglibatan tenaga pakar seperti Prof. Madya Dr. Ilham Ismail dan Dr. Nafiza Mat Nasir yang menyampaikan sesi latihan interaktif berfokus kepada advokasi kesihatan dan pengukuhan peranan mahasiswa dalam komuniti.
Konferensi U-CARE UiTM 2025 membuktikan komitmen berterusan UiTM dalam melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga prihatin terhadap isu kesihatan semasa dan bersedia menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat. Inisiatif ini selari dengan aspirasi Pelan Strategik UiTM dan menyokong usaha nasional dalam membentuk komuniti sihat, berdaya tahan dan bebas stigma.