Latest News

UiTM Tingkatkan Jalinan Sinergi dan Ukhwah bersama Alumni

SHAH ALAM, 20 APRIL 2022 – Majlis Jalinan Ukhwah Ramadan Alumni anjuran Pejabat Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN), Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah diadakan di Dewan Seri Impian, Hotel UiTM, Shah Alam.

Tujuan utama majlis adalah untuk meningkatkan ukhwah serta mengeratkan silaturrahim bagi memperkukuhkan keakraban dan sinergi antara warga Alumni dan UiTM.

Pusat Jaringan Alumni (ANC), Pejabat Jaringan Industri, Komuniti & Alumni (ICAN) bergerak aktif selaku perantara para alumni dan warga UiTM dengan sentiasa memastikan ukhwah akan terus terjalin dalam pelbagai bentuk kolaborasi, kerjasama dan kesepakatan. Dalam usaha mendekati alumni, ANC ICAN, juga sentiasa bekerja keras dalam usaha membangunkan dan mengemas kini pangkalan data alumni UiTM dengan kerjasama fakulti, kampus dan seluruh persatuan alumni. MyAlumni UiTM mengungguli usaha ANC ICAN, dengan menyediakan data alumni aktif dan penghasilan kad maya MyAlumni UiTM.

Kini MyAlumni UiTM mara setapak lagi dengan mewujudkan direktori penyenaraian perniagaan Alumni UiTM (UiTM Alumni business listing) dan Faedah Alumni UiTM (Alumni UiTM benefits). Dalam majlis ini juga, ANC ICAN turut memperkenalkan inisiatif Projek Buku Koleksi Beribu- Ribu Pantun UiTM Di Hatiku yang merupakan usaha murni Naib Canselor UiTM, YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Janor dalam menghimpunkan pantun-pantun berkaitan memori di UiTM. Menurut beliau, ini adalah satu inisiatif universiti dalam menghimpunkan koleksi pantun perkongsian dari Keluarga UiTM khususnya para alumni, pengurusan tertinggi, staf, pentadbir, pensyarah, pelajar, pesara atau individu yang pernah melakar kenangan bersama UiTM.

Inisiatif ini juga disokong sepenuhnya oleh Timbalan Naib Canselor ICAN, YBhg. Prof. Dr. Mohamad Hariri Hj. Abdullah. Katanya “sokongan dan komitmen dari para alumni amat penting dalam memaksimumkan jalinan dan aktiviti melalui pendekatan inovasi sosial sebagai representasi signifikannya Alumni kepada UiTM”. Majlis ini telah dihadiri oleh Naib Canselor UiTM, YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Janor, Timbalan Naib Canselor Pusat Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN), YBhg. Prof. Dr. Mohamad Hariri Hj. Abdullah, Pengurusan Kanan UiTM, dan turut diserikan dengan kehadiran lebih 33 orang Presiden/Pengerusi dan wakil Persatuan-Persatuan Alumni UiTM. UiTM percaya ukhwah yang terjalin bersama para Alumni dapat membantu mewarnai landskap industri profesional negara dalam memartabatkan maruah bangsa dengan kejayaan-kejayaan yang diperoleh, di peringkat nasional hingga ke arena antarabangsa.

Sememangnya, UiTM telah mendominasi pasaran kerjaya Malaysia dalam pelbagai bidang profesional dan merupakan institusi pengajian tinggi pertama yang mempelopori pengkhususan bidang perhotelan, seni lukis dan seni reka, seni bina, kepustakaan, pelaburan media dan kewartawanan.

Contact Us

Universiti Teknologi MARA (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Malaysia

Tel: +603-5544 2000