PUTRAJAYA, 1 Julai 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam bidang keselamatan siber negara apabila diumumkan sebagai antara universiti utama
yang memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) sempena Majlis Perasmian Pembukaan Cyber Defence & Security Exhibition and Conference (CYDES) 2025, di sini hari ini.
MoU yang digerakkan oleh Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM), UiTM, ini telah disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri I, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Detik bersejarah ini mencerminkan kedudukan strategik dan komitmen tinggi UiTM dalam memperkukuh ekosistem keselamatan siber negara melalui penglibatan aktif dalam bidang penyelidikan, pembangunan bakat dan teknologi terkini.
“Ancaman siber kini semakin canggih, dan kesiapsiagaan serta tingkah laku digital yang bertanggungjawab bukan lagi satu pilihan – ia adalah barisan pertahanan pertama kita,” tegas YAB TPM dalam ucapannya. Beliau turut menekankan keperluan dasar dan kerangka keselamatan siber yang sentiasa berkembang sejajar dengan kemunculan teknologi baharu seperti AI dan IoT. “Tiada teknologi yang lebih kuat daripada insan di belakangnya. Sebab itu kita melabur dalam bakat, penyelidikan dan latihan – serta membina kerjasama global yang strategik,” katanya.
UiTM x NACSA: Kolaborasi Strategik Untuk Masa Depan Keselamatan Siber
Kerjasama antara UiTM dan NACSA merupakan satu langkah signifikan ke arah memperkukuh kesiapsiagaan digital negara. Sebagai agensi pusat dalam menyelaras dasar dan strategi keselamatan siber negara, NACSA akan bekerjasama rapat dengan UiTM melalui FSKM dalam pelbagai inisiatif melibatkan pembangunan kurikulum, penyelidikan bersama, latihan pakar dan pembangunan teknologi keselamatan digital yang inovatif.
Naib Canselor UiTM menegaskan bahawa kerjasama ini adalah manifestasi komitmen UiTM dalam melahirkan tenaga mahir tempatan yang bersedia mendepani cabaran landskap digital yang semakin kompleks.
“Kerjasama UiTM bersama NACSA adalah pemangkin utama dalam memperkukuhkan landskap keselamatan siber Malaysia. UiTM memiliki kepakaran luas dalam teknologi maklumat, kejuruteraan siber dan forensik digital – dan dengan sokongan NACSA, kami bersedia memperluas impak kami kepada negara,” katanya.
Kerjasama ini juga membuka peluang kepada pertukaran kepakaran, penempatan pelajar industri, pembangunan makmal keselamatan siber berstandard nasional serta pelaksanaan program latihan profesional untuk pegawai keselamatan sektor awam dan swasta.
Peranan Penting UiTM Dalam CYDES 2025
CYDES 2025 dijangka menjadi platform serantau utama yang menampilkan inovasi dan kerjasama dalam keselamatan digital, melibatkan pelbagai agensi kerajaan, syarikat swasta dan institusi akademik. FSKM dengan kerjasama Trend Micro turut terlibat di dalam pameran CYDES, menyerlahkan peranannya sebagai pemacu utama keselamatan siber negara.
Selain UiTM, universiti lain yang turut serta dalam sesi pemeteraian MoU bersama NACSA ialah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Management & Science University (MSU), dan University College TATI (UC TATI).
Dengan rekod cemerlang dalam bidang sains komputer, teknologi maklumat dan kejuruteraan digital, UiTM terus membuktikan kemampuannya dalam mempersiapkan negara ke arah masa depan digital yang lebih selamat, tangkas dan berdaya tahan.