Latest News

UiTM Merevolusikan Pengurusan Banjir di Kampung Padang Jawa dengan Teknologi Pintar

Kampung Padang Jawa, 16 Disember 2023 - Padang Jawa, Shah Alam merupakan antara kawasan terjejas teruk ketika bah besar Disember 2021 dengan lebih 30 keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan

sementara Sekolah Kebangsaan Padang Jawa. Antara faktor penyebab adalah lokasi Padang Jawa yang terletak di Tebing Sungai Klang.

Dengan perubahan iklim dan peralihan landskap geografi, Selangor menghadapi risiko banjir besar. Bagi mengurangkan risiko, program “Smart Flood”, di bawah inisiatif Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM), telah berjaya dianjurkan oleh Kolej Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

Program ‘Smart Flood’ menggunakan pendekatan teknologi pintar dan sistem maklumat untuk mengurus dan mengatasi masalah banjir dengan cekap. Ini melibatkan penggunaan sensor, analisis data dan infrastruktur ICT bagi memantau keadaan cuaca, aliran air dan sungai serta keadaan persekitaran berisiko banjir. 

Dr Nur'aina Daud dan Dr Jasber Gian Singh dari KPPIM telah bertindak selaku penasihat projek. 140 mahasiswa dari Sarjana Muda Sistem Maklumat (Kepujian) Kejuruteraan Sistem Pintar dan Sarjana Muda Sains Komputer (Kepujian) Pengkomputeran Multimedia, bekerjasama untuk menyusun strategi pengurusan banjir yang berkesan. Ini termasuk pemasangan Pengesan Banjir di Tebing Sungai Klang. Ia menawarkan ciri-ciri seperti ‘Sistem Maklumat Geografi (GIS)’ (sistem menghubungkan data ke peta), ‘Komunikasi dan Laluan Alternatif Kecemasan’ (sistem teks amaran dan cadangan laluan alternatif menggunakan API Peta Google), Penggunaan Aplikasi Mudah Alih untuk melaporkan keadaan banjir, menerima amaran dan mengakses maklumat penting, serta “ReliefLog” yang membolehkan orang awam melihat kuantiti dan jenis barang yang terdapat di pusat pemindahan ketika banjir. Kesemua ciri-ciri boleh diakses melalui platfom Android. 

Sebelum pemasangan teknologi pada 16 Disember, sekumpulan pelajar telah melawat kawasan Padang Jawa pada 9 November untuk melihat kawasan bagi mengenal pasti teknologi pengurusan banjir yang sesuai yang dapat membantu dan memperkasa komuniti Kampung Padang Jawa.

Semasa sesi pemasangan teknologi Pengesan Banjir, komuniti di Padang Jawa telah diberi taklimat akan ciri-ciri dan faedah teknologi. Demonstrasi tentang penggunaan ciri-ciri itu juga turut disediakan.  Pemasangan teknologi pintar banjir disambut baik oleh penduduk Kampung Padang Jawa. “Saya percaya program pada hari ini dapat memberi impak positif kepada komuniti ini dan saya juga percaya ciri-ciri yang dipersembahkan kepada saya pada hari ini dapat membantu komuniti Padang Jawa ketika banjir,” kata Encik Milzam, salah seorang penduduk Kampung Padang Jawa.

Program KPPIM SULAM (Service Learning Malaysia-University for Society) 2023/2024 merupakan salah satu inisiatif yang bertujuan memperkasa dan berkhidmat kepada masyarakat melalui aktiviti sukarelawan. Siswazah diberi peluang untuk mengaplikasikan pengetahuan mereka secara praktikal dan melihat bagaimana ilmu yang diperolehi mampu meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat. Aktiviti sebegini bukan sahaja membawa dampak positif kepada komuniti, malah menyokong aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals Empat, Sebelas dan Tiga Belas iaitu Pendidikan Berkualiti, Bandar dan Masyarakat Mampan serta Tindakan Iklim. Ia juga turut mendukung aspirasi Kerajaan untuk membentuk Masyarakat Madani.

Contact Us

Universiti Teknologi MARA (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Malaysia

Tel: +603-5544 2000