Latest News

Dari pengurusan biodiversiti ke peringkat antarabangsa: Nur Aisyah Nizayatul lakar sejarah melalui program The Youth Opportunity and Exchange

JENGKA, 5 Oktober 2023 - “Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu”,

begitulah boleh digambarkan dengan kisah Nur Aisyah Nizayatul binti Darwis, 23 tahun. Nur Aisyah merupakan pelajar bahagian 6, Sarjana Muda Sains (Kepujian) Pengurusan Biodiversiti di Universiti Teknologi MARA Cawangan Pahang, Kampus Jengka. Melalui program The Youth Opportunity and Exchange Program dibawah anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS), beliau telah berjaya mewakili Malaysia ke Singapura bersama-sama 18 orang peserta lain dari pelbagai latar belakang pada bulan September baru-baru ini.

Singapore-Malaysia Youth Leaders Exchange Programme (SMYLEP) 2023 telah berlangsung pada 10 hingga 17 September. Dengan bertemakan keusahawanan dan kebudayaan, SMYLEP 2023 telah menjalankan pelbagai aktiviti menarik yang melibatkan dua negara bersama-sama delegasi Singapura semasa berada di Malaysia dan Singapura. Mereka juga berkesempatan bertemu dengan beberapa pemimpin negara termasuklah Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Ketua Setiausaha KBS, Dr Nagulendran Kangayatkrasu dan Ahli Parlimen Singapura, Mr Edward Chia.

Di antara program yang dianjurkan semasa di Malaysia ialah lawatan ke International Halal Showcase 2023 bertempat di Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) dan persidangan forum bertajuk Embracing Sustainability and Innovation for Social Impact. Manakala di Singapura, delegasi dibawa melawat kawasan perindustrian JTC LaunchPad @ One-North, lawatan ke Muzium Kebangsaan Singapura serta pameran “Semangat Yang Baru” berdekatan dengan muzium tersebut.

Menurut Nur Aisyah, beliau berjaya menjalin silaturrahim dengan rakan-rakan baharu dari Malaysia dan Singapura. Pengalaman yang paling menarik pula bagi beliau ialah lawatan ke pameran “Semangat Yang Baru”. Katanya, pameran ini membuka ruang pemahaman dari perspektif orang Singapura terhadap sejarah negara mereka. Di samping itu ia menunjukkan wawasan dan perubahan sebuah negara yang asalnya hanya negara kecil ke arah negara berkembang pesat dan maju.

Bagi Nur Aisyah, walaupun program SMYLEP 2023 ini hanya berlangsung selama 7 hari, namun ianya sangat padat dengan ilmu pengetahuan dan memberikan pengalaman berharga bagi dirinya. Aktiviti yang dijalankan dari program ini telah memberi impak kepada beliau dari pelbagai aspek antaranya semangat berdaya saing serta keterbukaan yang positif dikalangan remaja seangkatan beliau. Tahniah saudari Nur Aisyah Nizayatul di atas pencapaian luar biasa ini! Diharapkan agar lebih ramai lagi belia Malaysia diberi peluang untuk menjalani program seumpama ini pada masa akan datang.

Penghargaan:
Program SMYLEP 2023 yang telah dihadiri oleh saudari Nur Aisyah Nizayatul Darwis ini telah dibiayai oleh Kementerian Belia dan Sukan. Manakala kos-kos pengangkutan ke tempat Pusat Belia Antarabangsa dan kediaman Nur Aisyah di Sabah telah ditaja oleh pihak UiTM Cawangan Pahang.

Contact Us

Universiti Teknologi MARA (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Malaysia

Tel: +603-5544 2000