Latest News

Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan: BHEP UiTM Semarak Kayuhan Santai Merdeka 66

Shah Alam, 30 Ogos 2023 – Semangat kebersamaan dan semarak perpaduan dalam kalangan warga Universiti Teknologi MARA (UiTM) dimeriahkan dengan sambutan Program Kayuhan Santai Merdeka 66

sejauh 5 kilometer sempena Bulan Kemerdekaan. Program ini dirasmikan oleh YBhg. Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (TNC HEP) bertempat di Dataran Kolej Mawar, UiTM Shah Alam. Turut hadir ialah ahli Jawatankuasa Eksekutif HEP, Encik Hisyam Che Mat selaku Pengerusi Jawatankuasa Program, YBrs. Ts. Dr. Noradzhar Baba, Pengerusi Majlis Pengetua, ketua-ketua bahagian HEP dan wakil -wakil penaja.

Program tahunan ini merupakan edisi ketiga anjuran Unit Pengurusan Non-Resident, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) dengan kerjasama Majlis Pengetua UiTM Shah Alam dan Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Selangor. Seramai 66 peserta berbasikal, 20 peserta berkereta dan bermotorsikal akan diiringi oleh dua MPV Polis Bantuan (PB) UiTM, dua motorsikal trafik PB UiTM, satu kenderaan pick-up PB UiTM dan satu ambulans dari Pusat Kesihatan UiTM. Sempena kayuhan ini juga turut diadakan perjumpaan bulanan TNC HEP serta Pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan peringkat BHEP.

YBhg. Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, turut meluangkan masa bersama-sama memasang bendera pada kenderaan keluar masuk di Pintu Utama UiTM.

Di samping kempen kayuhan basikal sempena kemerdekaan ini, beberapa kategori pertandingan juga telah dianjurkan seperti Anugerah Hiasan Basikal Terbaik, Anugerah Peserta Paling Komited, Anugerah Peserta Paling Bersemangat yang setiap anugerah akan menerima hadiah wang tunai. Manakala Anugerah PTJ Paling Ramai Penyertaan akan menerima hadiah berbentuk hamper. Program kayuhan santai merdeka kali ini menampilkan barisan penaja seperti MITASA, KOSISWA, Homestead Wood, Puncak Bumi Utama, Mili Express, dan Sidah Katering.

Program yang berorientasikan sukan dan rekreasi ini bertujuan menggalakkan penyertaan warga UiTM dalam aktiviti sukan dan rekreasi di samping memupuk semangat berpasukan dalam diri peserta, melahirkan warga yang unggul berteraskan kepada keseimbangan dan kesepaduan dari segi intelek, jasmani, rohani, emosi dan sosial. Pelbagai aktiviti sampingan seperti nyanyian lagu patriotik dan dan kempen kibaran Jalur Gemilang turut diadakan.

 

More News

Contact Us

Universiti Teknologi MARA (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Malaysia

Tel: +603-5544 2000