Latest News

Seronoknya Belajar Sains Tentang Luka dan Kecederaan Melalui Inovasi “Wound Simulation Kit”

Baru-baru ini, kumpulan penyelidik “Wound Simulation” dari Fakulti Sains Kesihatan UiTM Selangor, Puncak Alam telah dijemput bagi mengadakan pameran sains berkaitan luka dan kecederaan

bersempena dengan +ICAN STEAM Outreach Program yang telah diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Serendah, Hulu Selangor.

Adapun, luka akibat kemalangan, kebakaran, melecur dan sebagainya merupakan antara kecederaan yang selalu terjadi dan ianya perlu dirawat dengan segera bagi mengelakkan jangkitan kuman yang lebih teruk. Elemen tentang luka dan kecederaan ini merupakan salah satu komponen utama dalam bidang sains kesihatan dan perubatan iaitu traumatology yang merupakan satu cabang ilmu sains yang sangat menarik untuk dipelajari kerana boleh melibatkan pelbagai jenis kes kecederaan atau trauma yang dialami.

Simualsi luka ini selalunya hanya dilakukan semasa latihan medan, kursus-kursus asas perawatan dan keselamatan. Untuk membina atau menyiapkan satu model luka selalunya memerlukan bahan dan kelengkapan yang agak mahal. Penggunaan latex sebagai medium utama penyediaan luka dan darah palsu yang dijual dipasaran memerlukan kos yang agak tinggi. Ini menghadkan jenis-jenis luka kecederaan dan bilangan model yang boleh disediakan pada satu-satu masa kerana memerlukan penggunaan latex yang banyak. Selain itu, penggunaan bahan latex boleh pada sesetengah individu boleh mengakibatkan alergi seperti kegatalan pada kulit, ruam, dan merbahaya sekiranya tertelan.

Oleh yang demikian, bagi menyelesaikan masalah alergi ini, Ketua Penyelidik Inovasi Wound Simulation ini iaitu En Razif Dasiman, Pensyarah Kanan Fisiologi dari Fakulti Sains Kesihatan UiTM, bersama ahli penyelidik lain dari Jabatan Sains Asas dan Pusat Pengajian Kejururawatan FSK UiTM, telah mencipta satu kit inovasi Simulasi Luka yang dinamakan “WouSim Kit” untuk kegunaan pembelajaran luka kecederaan ini. Kit yang dihasilkan ini adalah bergred makanan, lebih selamat dan dihasilkan daripada bahan-bahan campuran asas makanan dari dapur. Tekstur dan bau yang wangi juga menjadikan kit simulasi luka ini mesra pengguna dan lebih selamat digunakan.

Selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) khususnya SDG 3: Good Health and Wellbeing, dan SDG 4 Quality Education, penciptaan inovasi kit simulasi luka ini juga telah dijadikan sebagai alternatif gantian kepada produk latex komersil yang digunakan dalam pembuatan model luka palsu. Kos pembuatan model luka dapat dijimatkan, dan menghasilkan model luka yang lebih tahan lama.
Sempena ICAN STEAM Outreach Program yang di adakan di SMK Serendah ini, warga sekolah tidak ketinggalan untuk mencuba menjadi model luka yang dihasilkan dari kit yang dibawa. Solekan penghasilan model luka dilakukan secara live kepada model-model dan sukarelawan yang hadir, dan seterusnya sesi pembelajaran mengenai Sains berkaitan luka, jenis-jenis luka, kecederaan dan rawatan asas juga turut disampaikan kepada warga sekolah yang hadir oleh para penyelidk luka yang hadir. Ini menjadikan pembelajaran tentang luka menjadi lebih seronok dan efektif kerana pelajar akan terus faham tentang sains disebalik jenis luka dan kecederaan yang telah disediakan satu persatu.

Menurut ketua penyelidik, penggunaan kit simulasi luka ini akan diperhebatkan lagi penggunaannya dan membuka peluang kepada mana-mana agensi, persatuan badan beruniform serta mana-mana komuniti masyarakat yang berhajat dan ingin mempelajari dengan lebih jelas berkaitan luka dan kecederaan. Selain cadangan untuk mengkomersilkan kit ini, kami juga sedang giat mendapatkan maklumbalas daripada para pengguna yang pernah menggunakan kit ini agar penambahbaikan dapat dijalankan ke atas ramuan kit yang sedia ada. Kami juga bercadang untuk memperkenalkan kit ini kepada para penggiat filem dan drama untuk menggunakan inovasi ini bagi menyiapkan para pelakon yang terlibat dengan babak kecederaan atau kemalangan. Selain teknik solekan khas untuk menghasilkan luka yang mirip luka sebenar, kit ini sangat sesuai digunakan untuk menghasilkan model luka di dalam kelas dan boleh diolah mengikut jenis luka yang ingin dihasilkan.

 

More News

Contact Us

Universiti Teknologi MARA (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Malaysia

Tel: +603-5544 2000