Latest News

Malaysia Book Of Records : 11,386 Ke Program Lendu Berselawat 2023 Di UiTM Cawangan Melaka

MELAKA, 19 JUN 2023 – Program Lendu Berselawat 2023 telah menggegarkan Dewan Taming Sari UiTM Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah, dengan alunan selawat, zikir dan qasidah

yang dihadiri oleh 11,386 umat Islam yang dijalankan secara hibrid yang bertujuan untuk menghimpunkan umat Islam, tidak kira usia, ideologi dan latar belakang, dan sekali gus memecah rekod Malaysia Book of Records sebagai program berselawat dengan penyertaan peserta IPTA teramai.

Program anjuran barisan generasi muda di bawah naungan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM Cawangan Melaka ini diharap dapat menyatukan umat Islam khususnya anak muda dari seluruh Melaka serta memupuk perasaan Mahabbah melalui qasidah dan zikir.

Naib Canselor UiTM, Datuk Professor Dr. Hajjah Roziah Mohd Janor berkata, ‘Perhimpunan Lendu Berselawat ini amat istimewa kerana dapat bersama dengan ulama’-ulama’ tersohor dan disegani di negara yang akan berkongsi ilmu agama dan memberi ibrah dan refleksi diri untuk menjadi lebih baik pada masa akan datang’. Tambah beliau, ‘Program seumpama ini perlu diteruskan pada masa hadapan bagi melahirkan mahasiswa yang seimbang dari aspek akademik, jasmani dan rohani serta mampu memupuk nilai-nilai insaniah yang madani’.

Rektor UiTM Cawangan Melaka, Prof Madya Ts. Dr. Mohd Rasdi Zaini berkata, ‘Pihaknya mahu memupuk perhubungan sesama umat yang berterusan, tidak kira keturunan, darjat, warna kulit, dan bahasa’. “Selain itu, ia juga antara agenda menyokong agenda nasional berteraskan konsep madani di mana kita menghimpunkan generasi muda dan mendedahkan mereka dengan hiburan segar dan aktiviti positif yang berteraskan akhlak yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW sebagai pemimpin agung”. Beliau turut berkata, ‘Program ini diharap dapat mengeratkan ikatan ahli keluarga, ibu bapa dan anak-anak serta umat Islam dalam satu aktiviti minda sambil berhibur dengan persembahan Islamik’.

Program yang bertemakan Mahasiswa Berakhlak Generasi Ummah Bertaqwa itu dihadiri oleh Tuan Yang Terutama Negeri Melaka, Tun Datuk Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Mohd Rustam, dan menampilkan ikon agama terkenal seperti Syeikh Abdul Razak Al Masri, Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmodi, Habib Nael Ben Taher, Ustaz Mohammad Hadi Hj Minhat dan Sayyid Arshid Sayyid Ahmed.

 

More News

Contact Us

Universiti Teknologi MARA (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Malaysia

Tel: +603-5544 2000