Latest News

YB Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar & Perubahan Iklim Merasmikan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri HIMSAK 2023

Shah Alam, 7 Mei 2023 – Himpunan Siswazah Kelantan (HIMSAK) dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UiTM telah menganjurkan

Majlis Ramah Mesra Aidilfitri HIMSAK 2023 bertempat di Dewan Annex, UiTM Shah Alam. HIMSAK merupakan persatuan yang berperanan untuk membantu pembangunan pendidikan anak bumiputera yang tidak berkemampuan di Kelantan dan melahirkan pelapis pemimpin profesional pada masa hadapan melalui aktiviti-aktiviti dan program-program yang relevan dan signifikan dengan generasi masa kini.

Antara objektif utama penganjuran majlis ramah mesra ini adalah untuk merapatkan jurang hubungan mahasiswa IPT bersama pemimpin. Di samping itu, majlis sebegini dapat meluaskan rangkaian sosial yang sihat dalam kalangan mahasiswa sekaligus membentuk sahsiah dan amalan nilai murni dalam kehidupan seharian. Majlis Ramah Mesra Aidilfitri ini telah menghimpunkan lebih 600 anak Kelantan dari Institut Pengajian Tinggi (IPT) seperti UiTM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan sebagainya.

YB Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, telah merasmikan majlis ini. YB Menteri menekankan bahawa semangat kekitaan dan kebersamaan antara mahasiswa perlu diterapkan dalam melahirkan mahasiswa yang holistik dan proaktif. Turut hadir ke majlis ini ialah YBhg. Dato’ Haji Mohd Faizal Daud (Pengerusi Dewan Pembina HIMSAK), YBhg. Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi (Timbalan Naib Canselor HEP UiTM) dan YBrs. Encik Badrul Insan Kauzi (Presiden HIMSAK Kebangsaan).

Dalam pada itu, YB Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad telah menyempurnakan simbolik pelancaran penghijauan Malaysia peringkat HIMSAK universiti yang merupakan inisiatif Yayasan Hijau Malaysia. Usaha ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kesedaran masyarakat Malaysia Madani terhadap kepentingan pokok dan kawasan berhutan serta memupuk semangat mencintai alam sekitar. Program sebegini wajar diteruskan bagi memastikan generasi akan datang dapat menikmati keindahan alam sekitar di negara ini.

 

More News

Contact Us

Universiti Teknologi MARA (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Malaysia

Tel: +603-5544 2000