Latest News

Pesta Konvo 95 Ketengahkan Bakat Alumni UiTM

SHAH ALAM, 30 NOVEMBER 2022 – Sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke-95, Pesta Konvo 95 akan diadakan sepanjang tempoh konvokesyen bersidang bermula dari 26 November 2022 sehingga 10 Disember 2022 bertempat di Aras B (A) Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam di bawah kendalian Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP).

Tujuan utama penganjuran pesta konvo ini adalah untuk menambah kemeriahan Istiadat Konvokesyen yang dijalankan pada kali ini bagi meraikan kehadiran pengunjung yang datang dari seluruh pelusuk negara dengan menampilkan bakat-bakat dari warga UiTM (pelajar, staf dan alumni) sambil memberi sokongan kepada aktiviti jualan yang telah disediakan oleh para peniaga di tapak Pesta Konvo 95.

Disamping itu, keusahawanan dalam kalangan pelajar ditonjolkan dengan menyediakan tapak perniagaan yang dikendalikan oleh pelajar. Aktiviti ini akan memupuk semangat keusahawanan dalam kalangan mahasiswa dan menyokong usaha koridor keusahawanan pelajar di UiTM.

Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM, Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi, beliau percaya bahawa Pesta Konvo edisi ini dapat menambahkan kemeriahan Konvokesyen UiTM kali ini. “Pesta Konvo ini bukan sahaja dapat menyerlahkan bakat-bakat pelajar melalui aktiviti pentas yang disediakan, malah para Mahasiswa UiTM juga diberi peluang untuk terlibat dalam aktiviti keusahawanan dengan menyertai gerai-gerai jualan yang disediakan,” jelas beliau.

Pengarah Pembangunan Pelajar HEP UiTM, Dr. Shahsuzan Zakaria juga berkata, antara objektif Pesta Konvo adalah untuk memberi peluang kepada para Mahasiwa UiTM untuk menimba pengalaman berorganisasi, serta memupuk sifat dan kemahiran keusahawanan dan sentiasa berfikiran kreatif dalam menginovasikan sesuatu dalam kalangan Mahasiswa UiTM. “Selain dapat menyerlahkan bakat mahasiswa kepada pengunjung khususnya ibubapa dan graduan, Pesta Konvo turut menjadi platform penting untuk menggalakkan aktiviti keusahawanan dalam kalangan pelajar melalui penawaran tapak-tapak Perniagaan kepada mereka.”

Pada edisi kali ini, Pesta Konvo 95 akan menampilkan pelbagai gerai jualan dan menganjurkan pelbagai aktiviti yang menarik, antaranya ialah persembahan kugiran secara langsung (live band), pertandingan karaoke, penampilan artis jemputan, UiTM Talents Performance, persembahan tarian dan nyanyian. Persembahan yang dijadualkan akan diadakan di pentas utama selama tiga jam setiap hari bermula jam 11 pagi hingga jam 2 petang kecuali hari jumaat.

 

More News

Contact Us

Universiti Teknologi MARA (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Malaysia

Tel: +603-5544 2000