INTEC Cemerlang Anjur Bual Bicara Bersama Menteri Belia dan Sukan
|
|
Sebuah program Bual Bicara bersama Menteri Belia dan Sukan, YB Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek telah diadakan pada 5 September lalu, bertempat di Kolej Cemara, INTEC Education College (INTEC), Shah Alam. Hadir sama memeriahkan majlis, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof Dato’ Dr Abdullah Mohamad Said serta Pengarah INTEC, Prof Dr Fauziah Noordin.
Program ini diadakan bagi menyuntik semangat perpaduan di kalangan para pelajar INTEC yang terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang. Topik perbincangan yang dibentangkan dalam forum tersebut ialah peranan belia kepada masyarakat dan penyertaan belia terhadap aktiviti atau program yang sediakan kementerian. Seramai empat panel telah mengambil bahagian, antaranya YB Menteri dan tiga pelajar INTEC yang terdiri daripada bangsa Melayu, Cina dan India.
Selain itu, kehadiran YB Menteri dalam program bual bicara tersebut diharap dapat meningkatkan lagi pemahaman pelajar dalam membentuk jati diri yang mantap dan kepentingan mereka melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan bagi mengharungi kehidupan di luar negara kelak. Semoga nasihat yang disampaikan oleh YB Menteri melalui pengalamannya akan dijadikan panduan dan pedoman kepada para pelajar.
Kemuncak program para tetamu dihiburkan dengan persembahan pelajar yang bertemakan 1Malaysia. Sebelum majlis berakhir lagu keramat 1Malaysia turut dinyanyikan beramai-ramai bersama-sama YB Menteri.