Kedai Siswa 1Malaysia Untuk Warga Kampus
|
|
Kedai Siswa 1Malaysia (Siswa Save) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) kini menjadi tarikan utama seluruh warga kampus. Kedai ini ditempatkan di Kolej Melati, UiTM Shah Alam dan sudah beroperasi sejak awal Mac lalu. Ia merupakan kedai runcit pertama yang dimiliki oleh Kosiswa UiTM Selangor Berhad dan diuruskan sepenuhnya oleh pelajar dan ahli Kosiswa.
Barangan yang dijual biasanya mengikut harga pasaran, tetapi ada juga barangan dijual dengan harga runcit yang murah dan berpatutan. Antara barangan yang dijual adalah barangan runcit seperti air mineral 1Malaysia, gula 1Malaysia serta makanan ringan 1Malaysia.
Harga murah yang ditawarkan menjadi salah satu punca utama Kedai Siswa 1Malaysia ini menjadi perhatian ramai terutama di kalangan pelajar UiTM sendiri. Sambutannya juga di luar jangkaan apabila menerima kunjungan pelajar yang ramai hampir setiap hari.
Selain daripada menjual barangan keperluan dengan harga yang murah, Kedai Siswa 1Malaysia turut memberi peluang kepada mahasiswa yang ingin menceburi bidang keusahawanan dengan bekerja sebagai pekerja sambilan di kedai tersebut. Sementara itu, Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KDS1M) turut diperkenalkan oleh kerajaan baru-baru ini. Terdapat 51 syarikat telah bersetuju memberi diskaun melalui KDS1M ini.
Kedai Siswa 1Malaysia (Siswa Save) adalah perintis untuk mahasiswa menceburkan diri dalam bidang keusahawanan, dan di sini juga mereka boleh mempelajari asas-asas perniagaan, pengurusan dan peruncitan.
