Liga Bola Sepak IPT 2012: UiTM FC 4 - 1 KK KEDAH
|
|
Juara Liga Bola Sepak Institusi Pengajian Tinggi (IPT) musim lalu, Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah menang besar 4-1 menentang Kolej Komuniti Kedah (KKK) pada aksi pembuka tirai Liga Bola Sepak IPT 2012. Perlawanan yang bermula jam 4.45 petang itu telah berlangsung pada 10 Februari, di Stadium UiTM Shah Alam, Selangor.
Gol pertama perlawanan dijaringkan Muhammad Afham Zulkifli pada minit ke-33 separuh masa pertama untuk UiTM FC lantas mendahului aksi yang berlangsung di sebelah petang itu. Pada separuh masa kedua, tampak tuan rumah lebih kukuh menguasai padang apabila Muhamad Razren Mohd Jesri menambah jaringan gol kedua pada minit ke-65 dan gol seterusnya pada minit ke-75. Sementara itu, pasukan Kolej Komuniti Kedah sempat menghadiahkan satu gol saguhati buat penyokong mereka menerusi jaringan Rohazren Mat Ali pada minit ke-77.
Beberapa minit sebelum tamat perlawanan, UiTM FC mendapat sepakan penalti apabila penyerangnya dijatuhkan pemain pertahanan lawan. Muhamad Razren sekali lagi dengan mudah menyempurnakan sepakan penalti itu sekaligus menghasilkan gol keempat buat tuan rumah.
“Saya berpuas hati dengan aksi perlawanan pembukaan yang ditunjukkan oleh anak-anak buah saya. Kejayaan menjaringkan gol 4-1 adalah disebabkan disiplin dan semangat berpasukan tinggi dikalangan pemain. Ini juga membantu pemain meningkatkan keyakinan untuk terus bermain dengan cemerlang untuk liga kali ini,” kata Jurulatih UiTM FC, Azman Eusoff.
Hampir 300 penyokong memenuhi kawasan stadium memberi sokongan padu kepada pasukan pilihan masing-masing. Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), YBhg Prof Dato’ Dr Abdullah Mohammad Said serta wakil-wakil daripada Kolej Komuiti Kedah (Kementerian Pengajian Tinggi).
Liga Bola Sepak IPT 2012 dijangka akan berlangsung sehingga bulan Ogos 2012. Perlawanan seterusnya UiTM dijadual menentang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Stadium UiTM, Shah Alam pada 15 Februari ini. Semua warga dijemput datang beramai-ramai.
Untuk maklumat lanjut, sila layari
http://pusatsukan.uitm.edu.my/component/content/article/175.htmlTeruskan Menyokong UiTM FC! Majulah Sukan Untuk UiTM!