Thursday, 17th May 2012
Homepage > Current News > Perutusan Tahun Baharu Naib Canselor 2012

Perutusan Tahun Baharu Naib Canselor 2012

Attention: open in a new window. PDF Print E-mail
Majlis Perutusan Tahun Baharu 2012 yang disampaikan oleh YBhg Naib Canselor, Dato’ Prof Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar kepada semua warga kerja Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah diadakan pada 31 Januari 2012 di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam. Perutusan Tahun Baharu 2012 ini turut dipertontonkan secara langsung melalui laman sesawang WebTV UiTM kepada seluruh warga kerja di semua kampus cawangan dengan diketuai Timbalan Rektor Kampus.

Pada majlis sama, Bahagian Hal Ehwal Akademik turut melancarkan Transformasi Akademik (AcT) UiTM 2012 dengan moto “Act On It” yang memanifestasikan inisiatif dalam memacu kecemerlangan akademik UiTM. Sebanyak 31 hasil baru berbentuk polisi, buku, garis panduan, pamplet, dana dan sistem berkomputer dipamer untuk membawa maksud kesiapsiagaan Hal Ehwal Akademik seluruh UiTM dalam menggerakkan inisiatif Transformasi Akademik secara berpasukan bagi memupuk semangat kerja yang lebih produktif pada tahun 2012. Ini menunjukkan perubahan positif sedang berlaku dalam sistem pembangunan dan pengurusan akademik UiTM.

Perancangan dan strategi bagi pembangunan UiTM dan perjuangan program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) sangat diberi penekanan oleh Dato’ Naib Canselor dalam penyampaian amanatnya. Sempena dengan itu, sebuah buku “Nilai dan Etika Warga” juga dilancarkan sebagai panduan kepada warga dalam membudayakan pengurusan yang berintegriti dan berakauntabiliti ke arah menjadikan UiTM universiti bertaraf dunia dan melahirkan modal insan kelas pertama.

Majlis berkenaan diserikan lagi dengan upacara pelancaran buku berjudul Maxims of University Leadership, pelancaran UiTM Press dan penyampaian Anugerah Akademik UiTM 2011. Majlis gemilang ini disempurnakan oleh Pro Canselor UiTM, YBhg Tan Sri Dato’ Seri (Dr) Haji Arsyad Ayob. Pameran AcT 2012 turut disediakan untuk para warga yang hadir.

Diharap Perutusan Tahun Baharu 2012 akan menjadi pemangkin untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan dan produktiviti kerja di kalangan warga. Bersama kita bersatu memperjuangkan dan memajukan agama, bangsa, negara dan UiTM khususnya ke persada antarabangsa.

(Klik untuk besarkan)