IPTA, IPTS diseru wujud semangat akomodasi kaum

SHAH ALAM – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri-ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru semua institusi pengajian tinggi (IPTA) dan institusi pengajian swasta (IPTS) memainkan peranan mewujudkan semangat akomodasi antara kaum.

Baginda bertitah, semangat akomodasi antara kaum dan kesepaduan dalam kepelbagaian adalah ciri demokrasi Malaysia yang paling bestari.

“Kita boleh terus memartabatkan nasib dan masa hadapan kaum masing-masing menerusi pendidikan, tetapi pada masa yang sama tidak mengenepikan usaha ke arah pembentukan satu identiti nasional.

“Tanpa (semangat akomodasi), apa jua usaha ke arah membangunkan negara ini menjadi sebuah negara maju, tidak akan menjadi kenyataan,” titahnya pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-97 di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam, di sini hari ini.

Turut berangkat ke majlis tersebut adalah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Al-Sultan Abdullah yang merupakan Canselor UiTM bertitah, kurangnya pemupukan semangat akomodasi dikhuatiri akan merenggangkan hubungan harmoni sesama kaum sekaligus mewujudkan keadaan polarisasi.

Tegas baginda, keadaan polarisasi dapat mengundang unsur radikalisme, ekstremisme dan juga pertentangan pelbagai pendapat yang besar dalam masyarakat.

“Justeru apa juga batasan pemisah, jurang perbezaan dan lautan prasangka perlu segera direntasi dalam usaha melahirkan masyarakat masa hadapan yang hidup dengan penuh keharmonian.

“Perjuangan untuk memartabatkan sesuatu bangsa tidak seharusnya menjerumuskan negara ke arah polarisasi sehingga menggugat semangat perpaduan yang didambakan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah memaklumkan bahawa istiadat konvokesyen kali ini merupakan tugasan terakhir baginda sebagai Canselor UiTM.

“Beta ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada UiTM di atas segala pengalaman manis dan berharga sepanjang beta menjadi Canselor universiti ini.

“Beta berharap sepanjang hampir lima tahun yang berlalu, beta telah dapat menyumbang sedikit sebanyak idea yang bernas ke arah kemajuan universiti keramat ini,” ujarnya.

Pada istiadat hari ini, Datuk Prof. Emiritus Dr. Hassan Said dan Datuk Abdul Wahab Aziz dilantik sebagai Pro-Canselor UiTM yang baharu.

Sumber: KOSMO! ONLINE

 

More News

Contact Us

Universiti Teknologi MARA (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Malaysia

Tel: +603-5544 2000