UiTM Juara Masum 2, Silat Peroleh Pingat Terbanyak
|
|
Kontinjen Universiti Teknologi MARA (UiTM) menjadi juara keseluruhan Kejohanan Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia fasa dua di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat Johor, yang berlangsung pada 13 hingga 19 Julai lalu.
Kesungguhan pasukan UiTM mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan ternyata berbaloi setelah berjaya memungut sebanyak 12 pingat emas, lima pingat perak dan tujuh pingat gangsa. Naib johan kejohanan menjadi milik Universiti Putra Malaysia (UPM) dan tuan rumah, UTHM mendapat tempat ketiga.
Atlet Silat UiTM antara pasukan yang menyumbang pingat paling banyak dengan aksi yang mantap pada setiap perlawanan dan memungut sebanyak empat emas, dua perak dan lima gangsa. Sementara itu, acara bola keranjang lelaki dan ping pong wanita mencipta sejarah sebagai johan pertama kali dalam kejohanan tersebut.
Acara lain yang turut menyumbang pingat emas untuk pasukan UiTM ialah bola baling lelaki dan wanita, sofbol wanita, ping pong lelaki, ragbi dan boling padang lelaki, manakala pingat perak dimenangi menerusi acara hoki wanita dan boling padang wanita. Acara sofbol lelaki dan boling padang wanita pula menyumbang pingat gangsa.
Menurut Ketua Kontinjen UiTM, Mohd Fisol Haji Saud, komitmen dan semangat juang tinggi para atlet antara sebab kejayaan ini dapat diperoleh. “Setiap atlet bersungguh-sungguh mempamerkan aksi cemerlang dalam acara yang disertai. Tahniah saya ucapkan kepada mereka yang berjaya menjulang nama pasukan,” katanya.
Hampir 3,000 atlet dan pegawai Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Awam telah menyertai kejohanan sukan pada kali ini. Majlis penutup MASUM fasa dua itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Dato' Razali Ibrahim.
ATLET CEMERLANG, UiTM GEMILANG!


