UiTM Meraikan Atlet Olimpik London 2012
|
|
Shah Alam, 11 Julai - Atlet Universiti Teknologi MARA (UiTM), Khairulnizam Mohd Afendy, 19, pelajar Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Perlis, akan mewakili Malaysia sekaligus membawa nama universiti ini ke persada antarabangsa dalam temasya Sukan Olimpik London 2012, yang akan berlangsung dari 27 Julai hingga 12 Ogos ini.
Bersempena dengan itu, UiTM telah mengadakan satu majlis meraikan beliau di perkarangan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, sebagai tanda seluruh warga menghargai dan menyokong perjuangannya di sana nanti.
Khairulnizam Mohd Afendy akan bertanding dalam sukan Perahu Layar bagi acara Laser Standard. Beliau merupakan atlet ke-27 negara daripada 30 atlet yang akan bertanding dalam temasya sukan terbesar dunia itu.
Sementara itu, Khairulnizam turut menerima sejumlah RM3,000 daripada UiTM, yang disampaikan oleh Naib Canselor, YBhg Dato’ Prof Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar, sebagai insentif kecemerlangan sukan dan mewakili negara dalam Olimpik London 2012.
Turut hadir pada majlis tersebut, Timbalan Naib Canselor Akademik, YBhg Prof Dr Azni Zain Ahmed serta Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, YBhg Prof Dato’ Dr Abdullah Mohamad Said.
Selamat berjuang diucapkan kepada Khairulnizam Mohd Afendy. Kami seluruh warga UiTM sentiasa mendoakan kejayaan anda.

