Naib Canselor Turun Padang Dalam Siri Jelajah Destini Anak Bangsa 1Malaysia
|
|
Jelajah Destini Anak Bangsa 1Malaysia (JDAB1M) fasa kedua yang bermula 9 Mei lalu telah pun berakhir pada 26 Mei, dan ia dijayakan 70 sukarelawan termasuk pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM), alumni dan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Gerakan Destini Anak Bangsa (GDAB).
Naib Canselor UiTM, YBhg Dato’ Prof Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar telah turut serta menjayakan program ini di beberapa lokasi seperti Jeli, Tanah Merah, Alor Setar, Kuala Lumpur, Kepala Batas dan Seremban daripada 88 lokasi terpilih.
Kesudian Dato’ Naib Canselor meluangkan masa menyertai program tersebut sebagai tanda sokongan kepada para sukarelawan dan mengalu-alukan penyertaan bakal-bakal pelajar di bawah program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB).
Beliau berkata langkah UiTM ini selaras dengan hasrat Perdana Menteri yang mahu memperluaskan peluang pendidikan kepada semua pelajar berkelayakan dan berpotensi untuk berjaya agar mereka tidak ketinggalan.
“MDAB bertujuan membantu Bumiputera dengan pendapatan ibu bapa kurang RM2,000 sebulan, melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” kata Presiden GDAB, Mohd Faizal Daud.
Usaha ini adalah sebahagian daripada program khas GDAB dengan kerjasama UiTM yang mana pelajar yang tidak berjaya ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dikenal pasti untuk membantu mereka melanjutkan pelajaran, dan kumpulan sasaran adalah di kalangan mereka yang kurang berkemampuan, serta penduduk luar bandar.
Para sukarelawan turut berhenti di kawasan tumpuan ramai termasuk pasar dan stesen bas untuk mencari pelajar yang layak. JDAB1M telah singgah di Negeri Sembilan (9 Mei), Johor (10 Mei), Kuala Lumpur (11 Mei), Selangor (12&13 Mei), Perak (13-16 Mei), Pulau Pinang (17 Mei), Perlis (18 Mei), Kedah (18&19 Mei), Kelantan (21 Mei), Terengganu (22 Mei), Pahang (23 Mei), Melaka (24 Mei) dan Sabah (26 Mei).