Kerjasama UiTM - MAISCA: Siswa Sains Pentadbiran berpeluang miliki 2 diploma
|
|
Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan The Malaysian Institute of Chartered Secretaries and Administrators (MAICSA), telah diadakan pada 29 Mac lalu bertempat di Bangunan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM Shah Alam. MoU tersebut ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni) UiTM, Prof Dr Norsaadah Ismail berserta Presiden MAICSA, Dr Cheah Foo Seong FCIS. Melalui memorandum persefahaman ini, mahasiswa FSPPP berpeluang memiliki dua diploma serentak selepas menamatkan pengajian.
Menurut Dekan FSPPP, Prof Madya Dr Jasmine Ahmad, hasil MoU antara FSPPP dan MAICSA memberi peluang kepada graduan memiliki dua diploma iaitu Diploma Pentadbiran Awam (DPA) dan Diploma Profesional Pentadbiran Korporat (DPPK). Katanya, bagi memperoleh DPPK, pelajar hanya perlu mengambil dua subjek yang ditawarkan MAICSA iaitu Law Practice of Meeting dan Corporate Compliance and Practice.
FSPPP turut mempunyai program yang mirip kepada Institute of Chartered Secretaries and Administrators (ICSA) yang dikenali sebagai Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Korporat (Kepujian). Graduan program ini menjadi salah satu penyumbang utama kepada keperluan Setiausaha Berkanun di negara ini selain daripada graduan ICSA. Program DPPK adalah satu lagi produk UiTM demi memenuhi keperluan profesional peringkat pertengahan. Inisiatif ini bertujuan meningkatkan pengetahuan profesional graduan DPA untuk melestari cabaran bekerja di sektor awam, swasta dan korporat. Ia juga membuka peluang yang luas untuk mereka melanjutkan pengajian di peringkat ICSA kelak.


