PM lancar Yayasan Sukarelawan Siswa, UiTM Selaku Tuan Rumah
|
|
Hampir 10,000 mahasiswa dan mahasiswi Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh Malaysia hadir meraikan Majlis Pelancaran Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) dan Amanat Perdana Menteri Bersama Warga Kampus bertempat di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, pada 21 Mac lalu. Majlis pelancaran berkenaan turut disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak.
Menteri Pengajian Tinggi, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin merupakan penaung kepada Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS). Misi utamanya adalah untuk mempromosikan keamanan dunia dan memupuk semangat setia kawan melalui perkhidmatan komuniti di dalam dan di luar negara. Penyertaan YSS boleh dilakukan di semua IPT, termasuk Kolej Komuniti dan Politeknik. Ia juga terbuka kepada pelajar yang berdaftar di dalam dan di luar negara, keahliannya sepanjang hayat. Selain itu, mereka yang menyertai YSS perlulah mempunyai daya sukarelawan yang tinggi dan lulus ‘Ujian Kesukarelawan’.
“Keperibadian yang lebih mantap perlu dibentuk melalui pelbagai aktiviti dan program sukarelawan kerana sumbangan mahasiswa dan mahasiswi IPT amat bermakna dalam menjana masa depan negara,” kata Perdana Menteri semasa menyampaikan amanatnya. Tambah beliau lagi, YSS ini sebagai salah satu laluan bagi melahirkan pelajar yang holistik, serba boleh serta dapat melengkapkan diri mereka dengan nilai-nilai kemanusiaan sejagat.


