Fakulti Sains Gunaan Anjur Program Jati Diri, Terap Konsep 1Malaysia
|
|
Program “Bagai Aur Dengan Tebing” (BADANG) Fasa 1 anjuran Fakulti Sains Gunaan (FSG), UiTM Shah Alam dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka telah diadakan pada 15 Mac 2012 yang lalu bertempat di Sekolah Menengah Vokasional Melaka Tengah. Program yang berlangsung selama empat hari itu melibatkan 79 orang mahasiswa daripada beberapa persatuan dalaman FSG diketuai oleh Mohamad Anas Bin Hussein serta dibantu oleh Pengerusi BADANG Fasa 1, Dr Aishah Bujang serta beberapa orang pensyarah dan pihak pentadbiran FSG .
Seramai 85 orang pelajar aliran Sains Tingkatan 4 dan 5 dari empat buah sekolah yang terpilih menyertai program ini iaitu SMK Bukit Baru, SMK Bukit Katil, SM Tinggi St. David dan SM Vokasional Melaka Tengah. Program di bawah Projek Kasih Sayang 1Malaysia - “Vice Chancellor Special Project” (VCSP) ini mempunyai tiga fasa dan dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, YB Datuk Mohd Ali Mohd Rustam. Dalam fasa pertama ini, peserta difokuskan dengan pembinaan jati diri serta penerapan nilai-nilai positif berteraskan konsep 1Malaysia. Mereka juga diberikan pendedahan tentang sesi latihan dalam kumpulan, sesi pengajaran dan perbincangan selain diberi sedikit pengenalan mengenai FSG.

