Sunday, 26th May 2013
Homepage > Archives

Jualan Pesta Buku UiTM : Pelajar Manfaat Baucar Buku 1 Malaysia

Attention: open in a new window. PDF Print E-mail
Satu pameran dan jualan buku teks berkonsepkan karnival yang dianjurkan oleh pihak Koperasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan kerjasama Penerbit UiTM dan Gerakan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) bermula dari 13 Mac sehingga 16 Mac 2012 telah mendapat sambutan menggalakkan daripada pelajar UiTM khususnya pelajar-pelajar baru.

Karnival yang dibuka seawal jam 9 pagi hingga 5 petang itu diadakan di sekitar ruang legar Perpustakaan Tun Abdul Razak 1, Kedai Koperasi Buku UiTM dan Dataran Menara Sultan Abdul Aziz Shah (SAAS) UiTM. Pengunjung yang hadir tidak melepaskan peluang membeli pelbagai jenis buku dan bahan bacaan lain dengan diskaun antara 60 hingga 80 peratus dan mereka turut merebut peluang memenangi buku secara percuma.

Pengurus Unit Perkhidmatan Buku UiTM, Puan Noriah Hj Ismail berkata, saban tahun penganjuran Pameran dan Jualan Buku Teks ini diadakan bagi memberi kesempatan kepada orang ramai khususnya pelajar-pelajar baru untuk mendapatkan buku teks yang diingini atau bahan rujukan lain dengan harga berpatutan. Pengunjung juga boleh menebus Baucar Buku 1 Malaysia yang diberi oleh pihak kerajaan untuk membeli bahan keperluan pelajaran yang lain di sini.

Antara syarikat penerbitan buku dan majalah yang terlibat dalam siri penganjuran kali ini ialah Kumpulan Media Karangkraf, CERT Publication, Milenia Muslim dan beberapa IPT tempatan seperti Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaysia Pahang (UMP) serta syarikat penerbitan lain.