Temu Bual Eksklusif Naib Canselor Bersama Utusan Malaysia
|
|
Kukuhkan Agenda Penyatuan Demi Survival Melayu
Perpaduan yang melibatkan semua orang Melayu tanpa mengambil kira ideologi politik penting demi melahirkan bangsa Melayu yang arif dalam soal ekonomi, politik, pendidikan, sains dan sebagainya. Orang Melayu pastinya akan menjadi lebih hebat jika mereka berusaha bersungguh-sungguh memajukan diri serta memanfaatkan hak dan kedudukan istimewanya di negara ini seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Agenda Melayu jangan sesekali dipinggirkan, malah usaha memperkukuhkan penyatuan dan pendidikan orang Melayu perlu diteruskan tanpa kenal erti putus asa.
Oleh hal yang demikian, Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dato’ Prof Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar menegaskan, agenda perpaduan dan pendidikan negara ini perlu terus disemarakkan demi masa depan dan kelangsungan hidup orang-orang Melayu.
Menurut Dato’ Naib Canselor, usaha penyatuan Melayu perlu dilaksanakan secara agresif agar maruah dan darjat bangsa Melayu diangkat ke tahap tertinggi dan terus kekal serta mampu menjadi antara penentu kepada kejayaan orang Melayu.
“Pihak-pihak yang mempunyai keupayaan seharusnya menyambut ia sebagai cabaran dan dijadikan realiti, tetapi jangan apabila isu kuota membuka UiTM kepada bukan Bumiputera tidak ramai pula orang Melayu tampil mempertahankannya,” katanya.
Beliau menegaskan, dalam mengekalkan entiti penyatuan Melayu, sudah sewajarnya kini sekumpulan cendiakawan, intelektual mahasiswa Melayu bersama-sama kepimpinan negara menyusun strategi yang mampu merealisasikan hasrat berkenaan.
Dato’ Naib Canselor turut berkata, isu pendidikan Melayu seperti di UiTM perlu dipertahankan dan direalisasikan jika orang Melayu mampu mendahulukan rakan sebangsa.
“Perlu diingat bahawa kewujudan UiTM adalah untuk memberikan pendidikan agar bangsa Melayu dan Bumiputera berada pada kedudukan ekonomi yang seimbang dengan bangsa lain. Kerana itulah, UiTM seboleh mungkin menawarkan tempat kepada mereka untuk menimba ilmu,” jelasnya.
Tegas beliau, mundurnya Melayu adalah kerana bangsa itu tidak bersatu.
”Kita tidak mahu melihat ada bangsa Melayu sendiri yang tidak mahu melihat lebih ramai anak bangsanya berjaya bersama UiTM,” katanya.
Sumber oleh:
Utusan Malaysia (Rencana), 2 Februari 2012, m/s 10