Tuesday, 18th June 2013
Homepage > Archives

Temu Bual Eksklusif Naib Canselor Bersama Mingguan Malaysia

Attention: open in a new window. PDF Print E-mail
Misi Menyelamatkan Anak Bangsa

Penubuhan Universiti Teknologi MARA (UiTM) adalah atas hasil usaha pemimpin UMNO selepas Kongres Bumiputera, bertujuan membela orang Melayu yang jauh ketinggalan. Salah satunya adalah mewujudkan sebuah institusi pendidikan untuk membantu anak bangsa. Pada 2010, YBhg Dato’ Prof Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar telah dilantik sebagai Naib Canselor UiTM dan antara perkara pertama yang beliau mahukan ialah menjadikan UiTM seperti pada peringkat awal penubuhannya, iaitu membantu pelajar miskin.

“Matlamat saya hanya satu iaitu mahu menyelamatkan mereka daripada terperangkap dengan hidup yang tidak ada masa depan,” jelas beliau.

“Sebenarnya program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) telah bermula pada 2010. Saya buat program ini untuk mempelawa pelajar yang hanya mendapat kelulusan sekadar tiga kredit masuk ke UiTM,” katanya.

“Memandangkan mereka ini tidak layak mendapat bantuan PTPTN, kita cari dana untuk menampung perbelanjaan mereka. Saya tubuhkan Tabung MDAB, ia hasil daripada kutipan dan potongan gaji pensyarah, alumni UiTM, zakat serta sumbangan Syarikat Milik Kerajaan (GLC).

Menurut Dato’ Naib Canselor, istimewanya program MDAB, pelajar tidak perlu mengisi borang termasuklah melalui internet. Sebaliknya pihak UiTM sendiri akan mencari mereka di setiap ceruk kampung serta meredah bersama-sama dengan pensyarah dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang ditubuhkan UiTM iaitu Gerakan Destini Anak Bangsa.

Program sebegini merupakan satu usaha Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) UiTM untuk anak bangsa. Sekurang-kurangnya pihak UiTM memberi peluang kedua kepada mereka untuk berjaya dan memperbaiki taraf hidup.

Bagi saya, projek ini harus diteruskan pada masa hadapan selagi terdapat mereka yang terpinggir untuk dibantu dan diberi harapan,” katanya.

Sumber oleh:
Mingguan Malaysia (Wawancara), 26 Februari 2012, m/s 7