Kampus-Kampus Baharu UiTM (PFI)

Bagi menampung keperluan negara untuk menambahkan bilangan bumiputera yang berjaya ke universiti, kerajaan, melalui Universiti Teknologi MARA (UiTM), sentiasa prihatin dan menyusun strategi agar kampus-kampus baharu dengan prasarana yang selesa dan mencukupi bagi kemudahan pembelajaran pelajar-pelajarnya dapat dibuka dengan seberapa banyak yang mungkin. Namun, pembinaan banyak kampus baru secara serentak memerlukan perbelanjaan besar dan tidak mungkin mampu ditanggung oleh kerajaan.

Melalui strategi Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI), pembinaan kampus-kampus cawangan baharu UiTM dapat dilaksanakan. Sehingga tahun 2014, sebanyak enam kampus baharu telah disiapkan melalui inisiatif ini. Kampus-kampus tersebut adalah Kampus Puncak Alam Fasa 2, Kampus Samarahan 2 di Sarawak, Kampus Jasin di Melaka, Kampus Pasir Gudang, Johor, Kampus Seremban di Negeri Sembilan, dan Kampus Tapah 2 di Perak.

Pembinaan kampus-kampus baru ini sangat signifikan kepada pemimpin negara dan pencapaian bangsa Melayu secara keseluruhan. Pencapaian ini merupakan satu-satunya inisiatif di dunia dalam aspek tanggungjawab sosial. Justeru, adalah juga menjadi tanggungjawab semua, khususnya warga UiTM, staf dan pelajar, untuk memastikan aspirasi kepimpinan dan martabat bangsa terus terpelihara dan dipertahankan.