Ahad, 19hb Mei 2013
Laman Utama > Berita Semasa

Berita Semasa

CHESS UiTM Pulau Pinang Persatuan Terbaik Keseluruhan

Majlis Anugerah Kecemerlangan Persatuan/Kelab Pelajar UiTM 2012 anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) telah diadakan pada 16 April lalu, bertempat di Hotel De Palma, Shah Alam. Perasmian majlis disempurnakan oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Pengajian Tinggi, YBhg Datuk Ab Rahim Md Noor.

Sebanyak 39 anugerah telah disampaikan di bawah kategori Anugerah Persatuan Terbaik, Anugerah Individu dan Anugerah Khas termasuk Anugerah Persatuan Terbaik Keseluruhan UiTM 2012 yang dimenangi oleh Chemical Engineering Students Society (CHESS), UiTM Pulang Pinang. Pemenang menerima RM2,000, piala pusingan, piala iringan dan sijil penghargaan.

Hadir sama memeriahkan majlis ialah Timbalan Naib Canselor (HEP), YBhg Prof Dato’ Dr Abdullah Mohamad Said, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Azni Zain Ahmed dan Pengarah Pembangunan Pelajar, HEP, Dr Mohd Bahrin Othman.

Majlis berkenaan merupakan kemuncak pengiktirafan dan penganugerahan daripada UiTM kepada persatuan, kelab, penasihat, pegawai, jawatankuasa serta para pelajar yang telah memperlihatkan ketokohan paling cemerlang dalam menganjurkan pelbagai aktiviti di peringkat universiti, di dalam dan luar negara.


 

Wacana Kepimpinan Isu Semasa

Shah Alam, 16 April – Seramai 5,000 warga UiTM terdiri daripada pelajar ijazah serta kakitangan akademik dan pentadbiran telah hadir ke majlis Wacana Kepimpinan Isu Semasa: Sebelum Senja Berlabuh yang diadakan di Dewan Agung Tuanku Canselor.

Atur cara majlis tersebut merangkumi sesi bersama Naib Canselor, YBhg Dato’ Sri Prof Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar yang bertajuk Suara Minda: Dari Hati ke Hati dan sesi bersama YBhg Prof Dato’ Dr Sidek Baba dengan ceramahnya yang bertajuk Memperkasa Umat Melayu melalui Konsep Jalur Wasatiyyah.

Wacana tersebut turut disiarkan secara langsung ke seluruh kampus cawangan menerusi WebTV UiTM.

 

Pasukan Robotik UiTM dilancar

Shah Alam, 10 April – Majlis Pelancaran Pasukan Robotik UiTM MIRoC 2013 telah disempunakan oleh Naib Canselor, YBhg Dato’ Sri Prof Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar, bertempat di perkarangan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM Shah Alam.

Pasukan Robotik UiTM merupakan gabungan kerjasama antara Humanoid Robots and Bio-Sensing Center (HuRoBs), Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Fakulti Kejuruteraan Elektrik. Pasukan yang terdiri daripada pelajar dan pensyarah itu akan mewakili UiTM ke Malaysia International Robot Competitions (MIRoC), pada 12 hingga 14 April ini, bertempat di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).


   

Malam Mesra NR

Malam Mesra Non Resident (NR) anjuran Pejabat NR telah diadakan pada 09 April 2013, bertempat di Dataran Antarabangsa, UiTM Shah Alam. Seramai lebih 3,000 mahasiswa hadir memeriahkan majlis berkenaan. Sementara itu, 1,000 pengunjung terawal telah menerima seunit pendrive sebagai cenderamata kenangan dari Pejabat NR.

Majlis berkenaan dimeriahkan lagi dengan kehadiran Naib Canselor, YBhg Dato’ Sri Prof Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar berserta isteri, YBhg Datin Sri Prof Dr Hanizah Abdul Hamid. Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dato' Dr Abdullah Mohamad Said.


 

FKPM Pamer Visual Kreatif Perjuangan Lahad Datu

Shah Alam, 01 April - Majlis perasmian Pameran Darah dan Air Mata: Metafora Perjuangan Lahad Datu anjuran Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan kerjasama Jabatan Komunikasi Korporat dan Galeri Seni Tuanku Nur Zahirah (GESTURZ) telah disempurnakan oleh Ketua Polis Selangor, YDH DCP Dato’ Tun Hisan Dato’ Hj Tun Hamzah.

Hadir sama memeriahkan majlis ialah Naib Canselor, YBhg Dato’ Sri Prof Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof Dr Azni Zain Ahmed, Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni, Prof Dr Norsaadah Ismail serta Dekan FKPM, Prof Dr Azizul Halim Yahya.

Pameran tersebut menampilkan 20 poster grafik dan tayangan video yang penuh dengan elemen komunikasi, seni visual dan psikologi dalam pelbagai komposisi poster grafik yang dinamik dengan tujuan menyampaikan mesej penting bahawa seluruh rakyat Malaysia perlu mempertahankan kedaulatan negara.

Salah seorang anggota Pasukan Keselamatan Negara, Inspektor Mohd Hasnal Jamil, 31, menjadi mangsa pengganas Sulu turut dijemput untuk berkongsi pengalaman beliau semasa bertugas di Lahad Datu. Beliau yang merupakan bekas pelajar UiTM menceritakan detik-detik cemas ketika menghadapi serangan pengganas di Semporna pada 02 Mac lalu.

Dalam pada itu, sumbangan amal Tabung Wira Lahad Datu sejumlah RM33,000 daripada pihak UiTM juga disampaikan kepada Ketua Polis Selangor untuk disalurkan ke Tabung Kebajikan Polis DiRaja Malaysia dan diagihkan kepada keluarga wira negara yang terkorban dalam Ops Daulat di Sabah.

Pameran berkenaan berlangsung sehingga 05 April 2013, dan semua poster yang dipamerkan dijual bagi tujuan sumbangan amal. Maklumat lanjut pameran boleh dicapai menerusi http://artgallery.uitm.edu.my/ atau laman facebook GESTURZ.