UiTM Buka Kampus Baru di Raub
|
|
Kampus cawangan Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Raub, Pahang dan Institut Latihan UiTM di Nilai, Negeri Sembilan merupakan dua projek baru UiTM yang dijangka akan siap dalam tiga tahun lagi.
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah menandatangani perjanjian (MoA) konsesi itu bersama Utusan Intelek Sdn Bhd bagi pembinaan kampus UiTM Raub, dan Menang Corporation (M) Berhad melalui anak syarikatnya, Protokol Elegan Sdn Bhd bagi Institut Latihan UiTM, di Putrajaya, 25 Julai lalu.
Majlis tersebut disaksikan oleh Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Hadir sama pada majlis itu ialah Naib Canselor UiTM, Dato’ Prof Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar serta Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Ab Rahim Md Noor.
Datuk Ab Rahim berkata, ia kesinambungan kepada agenda negara untuk menambah enrolmen pelajar UiTM daripada 100,000 kepada 200,000 dalam tempoh tiga tahun.
“Projek itu adalah projek ketiga dan keempat daripada enam projek fasa dua pembangunan kampus UiTM secara Inisiatif Pembiayaan Swasta (IPF) bagi Rancangan Malaysia Ke-10,” katanya.
Kampus UiTM Raub membabitkan kos pembinaan sebanyak RM230 juta dan boleh menempatkan 3,000 pelajar. Ia akan dibina di kawasan seluas 31.6 hektar di Mukim Gali, Raub-Bentong. Kampus itu juga bakal menempatkan pelajar daripada Fakulti Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Fakulti Matematik dan Sains Komputer serta Fakulti Pengurusan Perniagaan.
