Jumaat, 24hb Mei 2013
Laman Utama > Berita Semasa > Jelajah Destini Anak Bangsa 1Malaysia

Jelajah Destini Anak Bangsa 1Malaysia

Perhatian: tetingkap baru akan dibuka. PDF Cetak E-mel
Satu siri jelajah yang diberi nama “JELAJAH DESTINI ANAK BANGSA 1MALAYSIA” ke seluruh Malaysia sepanjang Mei 2012 telah dianjurkan oleh Gerakan Destini Anak Bangsa (GDAB), sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Dinaungi oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, program ini diadakan dengan tujuan utama adalah untuk membantu anak-anak golongan kurang berkemampuan di luar bandar, pedalaman dan miskin bandar untuk menyambung pelajaran mereka ke tahap yang lebih tinggi.

Bertempat di Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM Shah Alam, acara pelepasan konvoi kenderaan atau flag off’ “JELAJAH DESTINI ANAK BANGSA 1MALAYSIA” pada kali ini diadakan dengan penyertaan seramai lebih 70 orang sukarelawan, terdiri daripada pelajar dan alumni UiTM sendiri. Acara pelepasan tersebut disempurnakan oleh Setiausaha Politik Menteri Pengajian Tinggi, Khairi Abdul Malek.

Program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) cetusan ilham Naib Canselor UiTM, Dato’ Prof Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar ini pada dasarnya menumpukan kepada usaha jitu UiTM bagi mengubah nasib anak Melayu dan Bumiputera miskin menerusi suatu proses pemindahan ilmu secara formal di UiTM.

Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof Dato’ Dr Abdullah Mohd Said, perkara yang tersirat di sebalik program ini yang perlu dilihat ialah suntikan semangat dan dorongan yang diberi kepada masyarakat khususnya golongan berpendapatan rendah tentang peri pentingnya pendidikan tinggi untuk masa depan mereka.

Sebanyak 88 lokasi terpilih seluruh Malaysia akan dijelajah oleh pasukan GDAB. Selain dibiayai sepenuhnya tabung MDAB, program siri jelajah kali ini turut mendapat tajaan daripada pihak Affin Bank, Jakel dan KUB Malaysia Berhad.