Leman Juara Keseluruhan FFVPM9
|
|
Kemuncak Festival Filem dan Video Pelajar Malaysia Ke-9 (FFVPM9) yang berlangsung 23 Jun lalu, di Dewan Agong Tuanku Canselor, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, telah menyaksikan kemenangan besar filem pendek berjudul Leman.
Filem Leman arahan Ahmad Hafiz Rashid adalah hasil karya penuntut UiTM daripada Fakulti Filem, Teater dan Animasi. Mereka dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori Filem Pendek Terbaik, Filem Terbaik Keseluruhan dan Pengarah Terbaik.
Anugerah gilang-gemilang itu adalah anjuran bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan UiTM melalui Fakulti Filem, Teater dan Animasi. Segala persiapan dan persediaan untuk festival yang berlangsung selama tiga hari dikelolakan oleh barisan pensyarah dan pelajar fakulti tersebut.
FFVPM9 turut dihadiri tetamu kehormat, isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor. Barisan artis terkenal tanah air juga hadir memeriahkan majlis dan memberi sokongan kepada semua peserta yang bertanding, antaranya, Neelofa, Farid Kamil, Nasha Aziz, Fahrin Ahmad, Vanida Imran, M.Nasir, Lisa Surihani, Eja, Yusry KRU dan lain-lain.
Ternyata hala tuju festival untuk menggalakkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) menghasilkan karya yang lebih kreatif dan dinamik sudah tercapai, apabila penyertaan yang diterima kebanyakannya memberi saingan yang hebat antara satu sama lain.
Seiring dengan tema Anjakan Ke Arah Transformasi, pencapaian yang ditunjukkan dari awal festival sehinggalah kali ke sembilan dianjurkan sememangnya telah mempamerkan banyak peningkatan.
