Rapat 1Malaysia : Suntik Semangat Baru Warga UiTM
|
|
Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, berserta Institut Perkembangan Minda (INMIND) telah menganjurkan Rapat 1Malaysia “Perhimpunan Pensyarah dan Pentadbir UiTM” pada 2 April 2012, bertempat di Anjung Sri Budiman, UiTM Shah Alam.
Himpunan yang dihadiri para pensyarah dan pentadbir kampus UiTM seluruh Malaysia ini, turut dihadiri Menteri Pertahanan Malaysia, YB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai penyampai ucaptama. Manakala ceramah perdana bertajuk “1Malaysia: Membentuk Masyarakat Maju 2020” pula disampaikan oleh Ketua Pengarah JASA, YBhg Dato’ Haji Fuad Tan Sri Haji Hassan. Hadir sama, Naib Canselor UiTM, YBhg Dato’ Prof Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar, Pengarah IMPAK, Dr Mohd Sazili Shahibi dan Pengarah Besar INMIND, Ustaz Mohd Yusof Din.
Dengan tema “Peranan dan Cabaran dalam Merealisasikan Transformasi Negara”, program yang diadakan buat julung kalinya ini bertujuan memberikan kefahaman dan kesedaran kepada warga kerja UiTM terhadap aspirasi kepimpinan negara. Menurut Dato’ Naib Canselor, semua agenda transformasi pendidikan yang dilaksanakan UiTM akan berjaya sekiranya disokong padu oleh barisan warga pentadbir UiTM yang unggul, efisien dan holistik, demi bangsa dan negara.
Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi pula menegaskan, Program Transformasi Kerajaan (GTP) mampu mewujudkan suasana kondusif yang melestarikan hubungan antara anggota pentadbiran dengan rakyat, di samping menjana transformasi tanpa perlu merombak keseluruhan organisasi sedia ada.


