Ekspo Selangkah Tumpuan Lepasan SPM, STPM, Matrikulasi
|
|
Jabatan Komunikasi Korporat dengan kerjasama Bahagian Pengambilan Pelajar, Universiti Teknologi MARA (UiTM), telah menganjurkan Ekspo Selangkah Ke UiTM pada 24 dan 25 Mac 2012 di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam.
Ekspo kali kelima itu juga berlangsung selama dua hari di kampus cawangan UiTM seluruh negara, dengan hasrat dapat memberikan maklumat tepat dan berguna untuk calon membuat pilihan yang sesuai serta memudahkan ibu bapa dan calon yang berada di luar kawasan Lembah Klang menghadirinya.
Ekspo tersebut telah berjaya menarik lebih daripada 40,000 pengunjung. Kebanyakan pengunjung adalah pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan selebihnya pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), matrikulasi, diploma serta mereka yang berhasrat melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).
Ekspo tersebut membabitkan 25 buah fakulti di bawah Gugusan Sains dan Teknologi, Sains Sosial dan Kemanusiaan serta Pengurusan Perniagaan. Semua fakulti yang terlibat berperanan memberi penerangan dan maklumat terperinci mengenai program-program pengajian sedia ada dan baharu yang ditawarkan oleh UiTM. Calon pelajar juga berpeluang mendapatkan maklumat terkini berkenaan dengan bidang yang mereka minati.
Ekspo Selangkah Ke UiTM ini merupakan usaha proaktif UiTM bagi membantu calon berkelayakan memilih pelbagai pengkhususan yang ditawarkan oleh UiTM berdasarkan keputusan peperiksaan yang diperoleh dengan panduan profesional ahli akademik. Pada masa sama, calon-calon juga boleh menjalani Ujian Minat Kerjaya bagi menentukan kecenderungan dan kemampuan mereka memasuki kursus tertentu.



